Kelompok - 1

Virus komputer adalah nama yang diambil dari virus biologi, merupakan program komputer yang berupaya menyalin dirinya sendiri dan menjangkiti komputer tanpa kebenaran ataupun pengetahuan pengguna. Bagaimanapun perkataan virus biasanya digunakan bagi merujuk kepada pelbagai jenis perisian perosak yang berlainan. Virus yang asal mungkin mengubah suai salinannya atau salinan itu sendiri yang mengubah suai dirinya, seperti dalam virus metamorf. Virus hanya boleh tersebar apabila hosnya sampai ke komputer lain, contohnya melalui rangkaian atau perantara mudah alih seperti cakera liut, cakera padat atau pemacu kilat USB. Selain itu, virus juga boleh merebak dengan menjangkiti fail pada sistem fail rangkaian atau mana-mana sistem fail yang dicapai komputer lain.
Sesetengah virus direka untuk menjejaskan komputer dengan merosakkan atur cara, menghapuskan fail, atau memformat semula cakera keras, manakala virus-virus yang lain direka bukan untuk merosakkan apa-apa, tetapi hanya untuk menyalin diri dan mungkin untuk menonjolkan kewujudannya melalui pemaparan teks, video, atau pesanan audio. Walaupun virus yang kedua ini tidak berbahaya, ia juga boleh menimbulkan masalah kepada pengguna komputer kerana ia menelan ingatan komputer yang digunakan oleh atur cara yang sah. Oleh yang demikian, ia seringnya mengakibatkan tindakan yang tidak menentu dan boleh mengakibatkan kerosakan sistem. Selain itu, banyak virus juga mengandungi pepijat yang boleh mengakibatkan kerosakan sistem dan kehilangan data.
Virus komputer kekadangnya dikelirukan dengan cecacing komputer dan kuda Trojan. Kedua-dua ini berbeza dari segi bahawa cecacing boleh merebak ke komputer yang lain tanpa memerlukannya dipindahkan sebagai sebahagian fail perumah, manakala kuda Trojan adalah fail yang kelihatan tidak berbahaya sehingga dilaksanakan. Berbeza dengan virus, kuda Trojan juga tidak memasukkan kodnya ke dalam fail-fail komputer yang lain.
Banyak komputer peribadi kini dihubungkan dengan internet serta rangkaian kawasan setempat dan dengan itu, memudahkan perebakan virus. Ia mengambil kesempatan yang diberikan oleh perkhidmatan rangkaian seperti sistem-sistem Jaringan Sejagat, e-mel, dan pengongsian fail untuk merebak dan dengan itu, mengaburi perbezaan antara virus dengan cecacing komputer. Tambahan pula, sesetengah sumber menggunakan istilah alternatif yang mentakrifkan virus sebagai mana-mana bentuk perisian jahat penyalinan diri.

Mengapa orang mencipta virus komputer

Berbeza dengan virus biologi, virus komputer:
  • tidak mengembangkan diri;
  • tidak wujud secara spontan dan tidak dicipta oleh pepijat atur cara biasa; ia dicipta secara sengaja oleh para pengaturcara atau orang yang menggunakan perisian mencipta virus; dan
  • hanya boleh membuat apa-apa yang ditetapkan oleh pengaturcara.
Para pencipta virus mempunyai berbagai-bagai alasan untuk mencipta dan menyebarkan perisian jahat. Virus-virus telah dicipta sebagai projek penyelidikan, usikan, dan laku musnah, serta juga untuk menyerang produk syarikat-syarikat tertentu, menyebarkan pesanan politik, dan memperoleh keuntungan daripada pencurian identiti, perisian pengintipan (spyware), dan pemerasan kriptovirus.
Sesetengah penulis virus menganggap ciptaan mereka sebagai seni, dan melihat penulisan atur cara virus sebagai suatu hobi yang kreatif. Tambahan pula, banyak penulis virus menentang rutin-rutin yang ditulis semata-mata untuk melakukan pemusnahan. Selain itu, banyak penulis virus juga menganggap sistem-sistem yang diserang oleh mereka sebagai suatu cabaran intelektual atau satu masalah logik untuk diselesaikan. Ini berganda apabila permainan kucing dengan tikus itu terhadap perisian anti-virus dijangka.
Sesetengah virus bertujuan untuk merupakan "virus baik". Ia menyebarkan perbaikan kepada atur-atur cara yang dijangkitinya, atau menghapuskan virus-virus yang lain. Walaupun demikian, virus-virus sebegini adalah agak jarang. Ia masih menelan sumber sistem, dan mungkin akan menjejaskan sistem yang dijangkitinya tanpa sengaja serta juga kekadangnya dijangkiti oleh virus yang lain dan bertindak pula sebagai vektor untuk virus jahat. Tanpa disengajakan, atur-atur cara "virus baik" yang tidak ditulis dengan teliti juga boleh menjadi virus yang mendatangkan keburukan pada dirinya (umpamanya, 'virus baik' yang sebegini boleh salah mengecam fail sasaran dan dengan itu, salah menghapuskan fail sistem). Tambahan pula, ia biasanya bertindak tanpa meminta sebarang kebenaran daripada pemilik komputer. Oleh sebab kod penyalinan diri menimbulkan banyak kerumitan, adakah sesuatu virus yang bertujuan baik boleh menyelesaikan masalah dengan cara yang lebih baik, berbanding dengan atur cara biasa yang tidak menyalin diri, boleh dipersoalkan.
Dengan pendek kata, tidak adanya satu jawapan yang tunggal yang mungkin merangkumi seluruh demografi penulis virus yang begitu luas. Dalam kebanyakan bidang kuasa, pembebasan virus komputer (serta juga cecacing) merupakan suatu jenayah komputer.

Perisian anti-virus dan langkah balas pencegahan

Terdapat dua kaedah yang biasa digunakan oleh perisian anti-virus untuk mengesan virus. Yang pertama dan yang merupakan kaedah pengesanan virus yang jauh lebih biasa adalah dengan menggunakan sebuah senarai takrif tandatangan virus. Kelemahan kaedah pengesanan ini adalah bahawa para pengguna hanya dilindungi daripada virus-virus yang tersenarai pada kemas kini takrif virus yang terakhir. Kaedah yang kedua menggunakan algoritma heuristik untuk mencari virus berdasarkan tindakan-tindakannya yang serupa. Kaedah ini berupaya untuk mengesan virus yang firma-firma keselamatan anti-virus masih belum dapat mencipta tandatangannya.
Banyak pengguna memasang perisian anti-virus yang boleh mengesan dan menghapuskan virus-virus yang diketahui selepas komputernya telah memuat turun atau melaksanakan fail boleh laku. Ia berjalan dengan memeriksa heuristik kandungan ingatan komputer (RAM dan sektor but) serta fail-fail yang disimpan di dalam pemacu tetap atau boleh alih (pemacu cakera keras, pemacu cakera liut), lalu membandingkan fail-fail itu dengan sebuah pangkalan data yang mengandungi "tandatangan" virus. Sesetengah atur cara anti-virus berupaya mengimbas fail-fail yang terbuka, selain daripada e-mel yang dikirimkan dan diterima secara tergesa-gesa dengan cara yang sama. Amalan ini dikenali sebagai "pengimbasan pada capaian". Perisian anti-virus tidak mengubah keupayaan dasar perisian perumah untuk menghantar virus. Para pengguna harus mengemaskinikan perisian anti-virus mereka dengan tetap untuk menampung lubang-lubang keselamatan serta juga untuk perisian anti-virus mereka memperoleh pengetahuan tentang ancaman-ancaman yang terkini.
Seseorang juga boleh mencegah kerosakan yang dilakukan oleh virus dengan mencipta data (dan sistem pengendalian) sandar secara tetap pada medium yang berlainan, baik disimpan secara berasingan daripada sistem (bagi kebanyakan masanya), atau secara baca sahaja, ataupun secara tidak boleh dicapai atas alasan-alasan yang lain, seperti menggunakan sistem fail yang berlainan. Dengan cara ini, jika data hilang kerana virus, seseorang masih dapat memulakan semula dengan menggunakan fail-fail sandar (yang seelok-eloknya merupakan fail sandar baru-baru ini). Jika sidang sandar pada medium optik seperti CD dan DVD ditutup, ia menjadi baca sahaja dan tidak boleh lagi terjejas oleh virus. Serupa juga, sebuah sistem pengendalian yang disimpan dalam cakera boleh but boleh digunakan untuk memulakan komputer jika sistem pengendalian yang dipasang dalam komputer tidak boleh digunakan.
Lagi satu kaedah adalah untuk menggunakan sistem pengendalian yang berbeza daripada sistem fail. Sesuatu virus tidak begitu mungkin akan menjejaskan kedua-dua sistem itu. Sokongan data juga boleh menggunakan sistem-sistem fail yang berbeza, umpamanya Linux memerlukan perisian yang khusus untuk menulis pada petak NTFS dan oleh itu, jika seseorang tidak memasang perisian tersebut dan sebaliknya menggunakan pemasangan MS Windows yang berlainan untuk mencipta fail sandar pada petak NTFS (dan seelok-eloknya hanya untuk alasan ini), fail-fail sandar itu harus selamat daripada sebarang virus Linux. Serupa juga, MS Windows tidak boleh membaca sistem-sistem fail seperti ext3 dan oleh itu, jika seseorang biasanya menggunakan MS Windows, fail-fail sandar boleh dicipta pada petak ext3 dengan menggunakan pemasangan Linux.

Penghapusan virus

Satu langkah yang mungkin untuk menghapuskan virus yang wujud dalam Windows XP ialah penggunaan alat yang dikenali sebagai Pemulihan Sistem (System Restore). Alat ini memulihkan registri dan fail-fail sistem yang genting kepada titik semak yang dahulu.
Seringnya, sesebuah virus akan mengakibatkan sistem komputer tergantung, dengan pembutan semula keras akan merosakkan titik pemulihan sistem daripada hari yang sama. Titik pemulihan daripada hari-hari sebelumnya harus masih berkesan, asalkan virus itu tidak direka untuk merosakkan fail-fail pemulihan. Bagaimanapun, sesetengah virus, misalnya virus CiaDoor, akan mematikan pemulihan sistem serta alat-alat lain yang penting seperti Pengurus Tugas (Task Manager) dan penggesa. Virus mengubah suai registri dengan cara yang tepat sama dengan para pentadbir mematikan alat-alat tersebut atas berbagai-bagai alasan daripada pengguna-pengguna terhad, kecuali bahawa virus menyekat semua pengguna, termasuk juga pentadbir. Apabila sesuatu alat terjangkit diaktifkan, virus itu akan memaparkan pesanan, "Pengurus Tugas telah dimatikan oleh pentadbir anda", walaupun jika pengguna yang mencuba memulakan atur cara adalah pentadbir pada dirinya.

Categories:

Leave a Reply